Dalam soal penyusuan badan, kebanyakan bakal ibu menganggap susu badan akan mengalir lancar, dan ia adalah satu proses yang mudah bagi ibu dan bayi. Pasti inilah yang tersemat di minda, apatah lagi apabila anda membaca begitu banyak artikel yang menyebut bahawa penyusuan badan adalah proses semulajadi dan ramai wanita berkongsi pengalaman positif mereka di kumpulan laktasi media sosial, serta saling memberi sokongan dalam proses itu.
Namun adakah hakikatnya begitu? Penyusuan badan adalah proses yang mencabar dan ramai wanita mengalami kesukaran sepanjang proses ini. Ini dan meletihkan ketika badan anda masih dalam proses pemulihan, serta perlu memberi perhatian kepada bayi anda. Tekanan ini memang besar; sehingga membuatkan wanita tertanya-tanya adakah dia gagal melakukan sesuatu yang sepatutnya “semulajadi” bagi seorang ibu.
Sesetengah wanita mungkin terus berputus asa tetapi jika seseorang itu masih mahu mencuba untuk memberikan susu badan, ada banyak cara untuk mengatasi cabaran laktasi ini. Demi kesihatan dan kesejahteraan bayi, kaedah semulajadi adalah pilihan yang lebih baik. Antara pilihan itu ialah perubatan Cina, yang menawarkan rawatan semulajadi menerusi pendekatan yang holistik. Secara umumnya, cabaran laktasi ini ada dua kategori: Bekalan susu yang sedikit dan aliran susu yang perlahan. Pengamal perubatan Cina mengaitkan bekalan susu yang rendah ini dengan ketidakcukupan Qi dan bekalan darah dalam badan si ibu, ini ada kaitan dengan resam tubuhnya.

“Ibu-ibu mengalami kecederaan dan pendarahan berlebihan ketika melahirkan anak sama ada bersalin normal atau Caesarean. Ini menyebabkan penyusutan Qi, seterusnya membawa kepada masalah kekurangan Qi dan darah serta ia tergenang pada wanita selepas bersalin,” jelas Sin Yen Suan, seorang pengamal di Pusat Perubatan Cina, IMU Healthcare yang mempunyai 10 tahun pengalaman klinikal.
Keadaan tergenang ini menghalang susu daripada keluar secara semulajadi, dan akhirnya menyebabkan payudara penuh, kembang, sakit, dan bengkak. Tekanan selepas bersalin juga boleh mempengaruhi Qi anda, kata Sin. “Dalam perubatan Cina, kami mengakui bahawa punca utama penyakit adalah disebabkan kekurangan dalam jantung dan limpa, sekatan dalaman pada stasis darah dan Qi hati yang tergenang. Emosi juga memainkan peranan dalam kesihatan jantung dan limpa. Kerisauran yang berterusan akan memudaratkan limpa dan meletihkan jantung, seterusnya akan menjejaskan penghasilan Qi dan darah, yang membawa kepada kemurungan pospartum. Oleh sebab itu, rawatan perubatan Cina memberi penekanan khusus kepada pengaturan dan pengharmonian Qi dan darah, pada masa sama turut menenangkan fikiran.” kata Sin.
Pengamal perubatan Cina menyarankan perubatan moden digandingkan dengan perubatan Cina dalam menangani cabaran laktasi seperti mastitis. Sementara antibiotik membantu menghapuskan jangkitan, perubatan Cina atau akupuntur pula boleh merawat Qi yang tersekat yang menyebabkan keradangan, bengkak dan sakit.
Anda mungkin tertanya-tanya: Adakah selamat untuk mengambil ramuan herba ketika penyusuan badan?
Jawapannya, ya.
Ia selamat, kerana herba perubatan Cina adalah berasaskan tumbuh-tumbuhan.

“Secara umumnya, herba yang dipreskripsi kepada ibu-ibu adalah selamat untuk diambil semasa tempoh penyusuan badan,” kata Goh Si Woei, pengamal di Pusat Perubatan Cina IMU Healthcare mempunyai pengkhususan dalam kesihatan wanita. “Bagaimanapun, anda perlu mengelakkan sesetengah jenis herba semasa penyusuan badan. Contohnya, Fan Xie Ye (Daun Senna), Da Huang (Rubharb), dan Huang Qin (Skullcap Cina), kerana kandungan alkaloid dalam herba-herba ini boleh menyebabkan kesukaran bernafas, suhu badan rendah, dan ibu hilang selera makan. Juga elakkan Chao Mai Ya (Malta Anak Cambah Barli) dan Lada Hitam Sichuan kerana ia boleh menghentikan pengeluaran susu terus,” kata Goh. Sebelum mengambil sebarang herba perubatan Cina, anda disarankan supaya berbincang dengan pengamal perubatan Cina anda terlebih dahulu untuk saranan yang khusus dan bersasar.

Bahkan menjadi kebiasaan dalam kalangan wanita Malaysia untuk melalui tempoh berpantang tradisional kerana ia dipercayai penting bagi penjagaan dan pemulihan ibu selepas bersalin. Dalam tempoh ini, rawatan yang paling lazim diberikan adalah diet khas, perubatan herba dan terapi urutan selepas bersalin. “Ibu selepas bersalin akan mengambil sekurang-kurangnya satu mangkuk sup herba setiap hari semasa tempoh berpantang. Fungsi sup herba adalah untuk membantu pemulihan Qi dan darah selain menggalakkan laktasi. Herba yang boleh merangsang pengeluaran susu termasuklah Wang Bu Liu Xing (Biji Vaccaria) dan Tong Cao (Rice Paper Pith),” kata Sin.
Beliau bagaimanapun memberi amaran mengenai akupuntur semasa berpantang: “Akupuntur terutamanya digunakan untuk mencetuskan rangsangan kuat pada titik tekanan tertentu. Dari segi kesihatan, ibu baharu biasanya mengalami keadaan kekurangan, yang menjadikan mereka lemah. Akupuntur boleh menyebabkan pengsan atau pendarahan berlebihan jika dilakukan semasa berpantang,” katanya. “Sebaik sahaja anda melepasi tempoh berpantang, akupuntur boleh membantu untuk meningkatkan penghasilkan susu badan.”
PENDEKATAN HOLISTIK
Sama ada perubatan moden atau Cina, satu perkara yang boleh membantu penyusuan badan adalah: Kesejahteraan ibu, dari segi fizikal dan psikologi. Apabila seseorang itu berada dalam kesihatan yang baik, badannya akan dapat berfungsi seperti yang sepatutnya. Jadi, apabila ibu baru mendapat pemakanan yang baik, rehat yang mencukupi selain emosi yang tenang dan tenteram, proses penyusuan akan berjalan lancar.
Dalam soal pemakanan sewaktu tempoh penyusuan badan, daripada perspektif perubatan Cina, Goh menyarankan supaya mengelakkan makanan mentah dan sejuk seperti sushi dan salad, termasuklah minuman sejuk. Selain itu, ibu yang menyusukan anak juga tidak sepatutnya berdiet untuk menurunkan berat badan. “Khasiat yang seimbang akan menambah Qi dan darah, yang boleh membekalkan susu badan secukupnya. Ambil makanan seimbang yang mengandungi makanan banyak lemak, ikan, telur, daging tanpa lemak, dan lain-lain sumber protein berkualiti tinggi secara bersederhana. Lebihkan makan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh, dan kekacang untuk mendapat vitamin, mineral dan serat. Selain itu, minum banyak air untuk penghasilan susu. Secara amnya, wanita dewasa perlu minum 1.5 liter air setiap hari. Untuk menghasilkan susu secukupnya, ibu yang menyusukan anak perlu minum sebanyak itu dengan tambahan 750ml air lagi,” katanya.

Saranan lain? “Banyakkan berehat. Penghasilan dan perembesan susu dipengaruhi oleh banyak hormon. Tidur dan rehat yang mencukupi adalah keadaan yang kondusif untuk keseimbangan hormon. Tidur yang tidak berkualiti akan mempengaruhi jantung dan boleh mempengaruhi darah. Ibu baharu sangat cenderung untuk mengalami tekanan dan kebimbangan, yang akan menjejaskan perembesan susu. Mood yang tidak stabil juga akan mudah mempengaruhi Qi Hati dan ini boleh menghalang Qi daripada mengalir dengan lancar, yang seterusnya menjejaskan penyusuan badan.”
TERAPI MUZIK UNTUK PENYUSUAN BADAN

Mengekalkan pemikiran yang tenang telah terbukti dapat menambah baik pengalaman penyusuan badan anda – muzik adalah sumber yang bagus untuk terapi ini! Perubatan Cina menyarankan lima elemen (Bumi, Logam, Kayu, Api dan Air) sebagai panduan untuk jenis terapi muzik bagi membantu menangani ketidakselesaan khusus yang boleh menghalang anda daripada menyusukan anak.
Bumi: Rentak yang tenang, asyik dan stabil yang boleh membantu meredakan ketidakselesaan Limpa dan Perut.
Logam: Nada yang kuat dan gah untuk membantu meredakan ketidakselesaan Paru-paru.
Kayu: Muzik yang rancak, meriah dan menyeronokkan untuk membantu melegakan penyakit Hati.
Api: Muzik yang ceria, meriah, dan jelas untuk melegakan penyakit Jantung.
Air: Nada tenang dan lembut untuk melegakan penyakit Buah Pinggang.

